Persatuan Bekas Polis Malaysia Selangor

PENGENALAN

Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Selangor telah didaftarkan pada 22 Mac 1973 di Pejabat Pendaftar Pertubuhan Malaysia Kuala Lumpur, mengikut kehendak Akta Pertubuhan 1966, Peraturan 7 (2) No Pendaftaran PPM/WP/79872 JLD (20). Pejabat Operasinya di No 68 Bangunan G.C.I Tingkat 1, Jalan Ampang , Kuala Lumpur Pengerusi pertamanya ialah Allahyarham Y.M Raja Adnan bin Raja Abdullah, Pesara Pegawai Tinggi Polis, manakala Setiausahanya ialah Allahyarham En Ahmad Kusasi bin Wan Mat bekas Sub- Inspektor Polis. Pada mulanya PBPMNS hanya mempunyai 4 cawangan di Klang, Shah Alam, Sepang dan Petaling Jaya dan mempunyai ahli seramai 500 orang sahaja. Persatuan ini ditubuhkan adalah atas inisiatif Allahyarham Tun Dr Ismail, mantan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Allahyarham adalah pemimpin berdedikasi dan berfikiran jauh yang amat prihatin terhadap kebajikan bekas-bekas polis terutamanya bekas-bekas Polis Khas (SC) , Bekas Polis Tambahan (EPC), Bekas Polis Bantuan (AP) Bekas Pegawal Kampung (HG) yang mana mereka itu telah terlibat dengan tugas-tugas menentang penjenayah negara tanpa mendapat apa-apa bayaran pencen bulanan dan tidak ada sesiapa yang ambil peduli tentang nasib mereka. Menyedari hakikat keperitan hidup masa itu Allahyarham Tun Dr Ismail menyarankan agar satu persatuan ditubuhkan bagi memudahkan pihak kerajaan mengetahui akan nasib bekas-bekas pejuang Negara itu dan memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan-bantuan yang diperlukan

PERINGKAT PBPMNS

Peringkat Cawangan yang dipengerusikan Ketua Cawangan dengan beberapa orang ahli jawatankuasa yang dipilih / dilantik dalam mesyuarat agung cawangan selama dua tahun sekali. Penubuhan satu-satu cawangan adalah mengikut daerah polis (IPD). Ini bermakna di setiap Ibu Pejabat Daerah Polis, bekas polis boleh menubuhkan satu cawangan PBPM dengan syarat mendapat kelulusan dari Pengerusi Negeri dan Ahli Majlis Tertinggi peringkat pusat, mempunyai ahli tidak kurang daripada 50 orang dan di daerah itu belum mempunyai cawangan lagi.

PBPM Negeri yang diketuai oleh seorang Pengerusi Negeri, Timbalan Pengerusi Negeri, Naib Pengerusi Negeri dan beberapa ahli jawatankuasa yang dipilih. Dilantik dalam Mesyuarat Agung Negeri tiga tahun sekali Penubuhan PBPM Peringkat Negeri dengan kelulusan daripada Ahli Majlis Tertinggi Peringkat Pusat. Setiap negeri boleh menubuhkan PBPM negeri dengan syarat negeri tersebut mempunyai sekurang kurangnya 3 cawangan dan mempunyai ahli tidak kurang daripada 100 orang.

Ahli Tertinggi Pusat atau Nasional yakni se-Malaysia yang diketui oleh Presiden , Timbalan Presiden, seorang Naib Presiden, seorang Naib Presiden bagi Sabah dan seorang bagi Sarawak dan beberapa orang Ahli Jawatankuasa yang dipanggil Ahli Majlis Tertinggi AMT yang dipilih selama tiga tahun sekali dalam Perhimpungan Agung Kebangsaan atau pusat

VISI & MISI

VISI

Agensi peneraju dalam menjadikan Malaysia negara selamat, aman dan sejahtera,

MISI

Memberi perkhidmatan professional dan berkualiti dalam melindungi negara dan menjamin persekitaran yang selamat bagi masyarakat

MAKSUD LAMBANG

  • Lambang /Logo Persatuan ini berwarna Biru yang melambangkan perpaduan
  • Dua bilah keris bersarung yang bersilang (melambangkan warisan bangsa Malaysia yang dilindungi)
  • Dilindungi oleh dua tangkai bunga padi ( melambangkan makanan asasi serta kemakmuran Negara)
  • Di hujung bunga padi terletak satu mahkota negara bertulis “ ALLAH-MUHAMMAD” (melambangkan Islam sebagai agama rasmi serta mempertahankan sistem raja berperlembagaan)
  • Dibawah dua bilah keris itu tertulis perkataan PERSATUAN (Melambangkan Persatuan Bekas Polis Malaysia yang kukuh, berani dan menjunjung adat resam.
  • Di bawah bunga padi terdapat satu riben bertulis perkataan BEKAS disebelah kiri perkataan POLIS disebelah kanan dan MALAYSIA di bahagian tengah bawah ( melambangkan perpaduan Bekas Polis sebagai tulang belakang rakyat Malaysia yang berdaulat)
Scroll to Top